Wahyu Terakhir Untuk Rasulullah S.A.W
Tarikh dihantar pertama Jumaat 5 June 1998 03:47:16 -0600 (MDT)
Komen : Semoga hati kita menjadi redup bila membaca kisah
ini.
Diriwayatkan bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan
sesudah waktu Asar yaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji
penghabisan (Wada')
Pada masa itu Rasulullah S.A.W. berada di Padang Arafah di
atas unta. Ketika ayat ini diturunkan Rasulullah tidak begitu jelas penerimaan
nya, untuk mengingati isi dan makna yang terkandung di dalam ayat tersebut,
Baginda bersandar pada unta beliau sambil unta tersebut duduk perlahan-lahan.
Setelah itu turun malaikat Jibrail A.S dan
berkata:"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah aku sempurnakan
urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan
demikian juga apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para
sahabatmu dan beritahu mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu
dengan kamu."
Sebaik sahaja malaikat Jibrail A.S pergi maka Rasulullah
S.A.W pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah.
Setelah Rasulullah S.A.W mengumpulkan para sahabat beliau,
maka Rasulullah pun menceritakan apa yang telah di beritahu oleh malaikat
Jibrail A.S. Apabila para sahabat mendengar hal demikian maka mereka pun
gembira sambil berkata:"Agama kita telah sempurna! agama kita telah
sempurna!"
Apabila Abu Bakar mendengar keterangan Rasulullah S.A.W.
itu, dia tidak dapat menahan kesedihannya maka dia pun kembali ke rumah lalu
mengunci pintu dan menangis. Abu Bakar menangis dari pagi hingga ke malam.
Kisah tentang Abu Bakar r.a menangis telah sampai kepada
sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar
r.a dan mereka berkata:"Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu
menangis sehingga sebegini sekali keadaan mu? Sepatutnya kamu berasa gembira
sebab agama kita telah sempurna."
Mendengar pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a
pun berkata:" Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah
yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah
sempurna maka akan kelihatan lah kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut
bahawa ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah S.A.W. Hasan dan
Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi menjadi janda."
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a maka
sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a, lalu mereka menangis.
Tangisan mereka telah di dengar oleh para shabat yang lain, maka mereka pun terus
memberitahu Rasulullah S.A.W. tentang apa yang mereka lihat itu.
Salah seorang dari sahabat berkata:" Ya Rasulullah,
kami baru balik dari rumah Abu Bakar r.a dan kami dapati ramai orang menangis
dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau."
Apabila Rasulullah mendengar keterangan dari sahabat itu,
maka berubahlah muka Rasulullah dan dengan segera beliau bergegas ke rumah Abu
Bakar r.a.
Sebaik sahaja Rasulullah sampai di rumah Abu Bakar r.a maka
Rasulullah S.A.W melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya. "Wahai
sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?" Kemudian Ali r.a berkata:"
Ya Rasulullah S.A.W., Abu Bakar mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa
tanda bahawa wafat mu telah dekat. Adakah ini benar, ya Rasulullah?"
Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:" Semua yang dikata oleh
Abu Bakar r.a adalah benar dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu
semua telah hampir dekat."
Sebaik sahaja Abu Bakar r.a mendengar pengakuan Rasulullah
S.A.W maka dia menangis sekuat tenaganya sehingga dia jatuh pengsan sementara
Ali r.a pula mengeletar seluruh tubuhnya. Dan para sahabat yang lain menangis
dengan sekuat-kuat yang mereka mampu.
Kemudian Rasulullah S.A.W. bersalam dengan para sahabat satu
demi satu dan berwasiat kepada mereka. [Kisah Rasulullah S.A.W hidup selepas
turunnya ayat terakhir itu ada yang menyatakan 81 hari, 50 hari, 35 hari dan
ada juga yang mengatakan 21 hari.]
Pada saat sudah dekat ajal Rasulullah S.A.W., beliau
menyuruh Bilah bin Rabah azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpullah para
Muhajirin dan Ansar di masjid Rasulullah S.A.W. kemudian Rasulullah menunaikan
solat 2 rakaat bersama semua yang hadir. Setelah selesai mengerjakan solat
beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata: "Alhamdulillah, wahai
para muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang Nabi yang diutus dan mengajak
orang kepada jalan Allah dengan izin Nya, dan saya ini adalah sebagai saudara
kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu
kalau sesiapa mempunyai hak untuk dituntut, maka hendaklah dia bangun dan
memberitahu saya sebelum saya dituntut di hari kiamat."
Rasulullah berkata sebanyak tiga kali kemudian bangun
seorang lelaki yang bernama 'Ukasyah Bin Muhshan' dan berkata:" Demi ayah
dan ibuku Ya Rasulullah S.A.W., kalau anda mengumumkan kepada kami berkali-
kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini." Lalu 'Ukasyah
berkata lagi: "Sesungguhnya dalam perang Badar, saya bersamamu Ya
Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat
saya pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya dapat mencium peha anda,
tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda supaya berjalan
cepat, yang mana pada masa itu anda terpukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu
saya hendak tahu sama ada anda sengaja atau cuma hendak memukul unta
tersebut."
Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai Ukasyah, Rasulullah
sengaja memukul kamu."
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata kepada Bilal r.a.:
"Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkat aku ke
mari."
Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil
meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata:"Rasulullah telah
menyediakan dirinya untuk di balas (qishash)."
Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi
salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a menyahut dengan berkata:"
Siapakah di pintu?"
Lalu Bilal berkata:"Saya Bilal, saya diperintahkan oleh
Rasulullah S.A.W. untuk mengambil tongkatnya."
Kemudian Fatimah berkata:" Wahai Bilal, untuk apa
ayahku meminta tongkatnya?"
Bilal berkata:"Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah
menyediakan dirinya untuk di qishash." Fatimah bertanya lagi:"Wahai
Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk mengqishash Rasulullah
S.A.W.?"
Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a., sebaik sahaja
Fatimah r.a memberikan tongkat tersebut maka Bilal pun membawa nya kepada
Rasulullah S.A.W.
Setelah Rasulullah S.A.W. menerima tongkat tersebut dari
Bilal maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah'. Melihat hal yang demikian
maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a tampil ke hadapan sambil berkata:"Wahai
'Ukasyah, janganlah kamu qishash baginda Rasulullah S.A.W., tetapi kamu
qishashlah kami berdua."
Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar kata-kata Abu Bakar dan
Umar maka dengan segera baginda berkata:"Wahai Abu Bakar dan Umar, duduk
lah kamu sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempat untuk kamu
berdua."
Kemudian Ali r.a. bangun lalu berkata:"Wahai 'Ukasyah!
aku adalah orang yang sentiasa berada disamping Rasulullah S.A.W. oleh itu kamu
pukul lah aku dan janganlah kamu mengqishash Rasulullah S.A.W."
Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai Ali, duduklah
kamu, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi
hati mu."
Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:"Wahai
'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah
S.A.W., kalau kamu mengqishash kami sama dengan kamu mengqishash Rasulullah
S.A.W."
Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah S.A.W. pun berkata:
"Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua."
Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai 'Ukasyah, pukul lah
saya kalau kamu hendak memukul."
Kemudian 'Ukasyah berkata:" Ya Rasulullah S.A.W. anda
telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju."
Maka Rasulullah S.A.W. pun membuka baju, sebaik sahaja
Rasulullah S.A.W. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.
Sebaik sahaja 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah S.A.W.
maka dia pun mencium beliau dan berkata: "Saya tebus anda dengan jiwa
saya, ya Rasulullah S.A.W. Siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan
begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah
S.W.T. dengan badan saya dan Allah S.W.T menjaga saya dari neraka dengan
kehormatanmu."
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:"Dengarlah kamu
sekelian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."
Kemudian semua para jemaah bersalaman atas kegembiraan
mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah
berkata:" Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu,
engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah S.A.W.
di dalam syurga."
Apabila ajal Rasulullah S.A.W. makin hampir maka beliau pun
memanggil para sahabat ke rumah Siti Aisyah r.a dan beliau berkata: "Selamat
datang kamu semua semoga Allah S.W.T. mengasihi kamu semua, saya berwasiat
kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mentaati
segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua
hampir dekat. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku,
Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong
keduanya.
Setelah itu kamu kapani aku dengan pakaianku sendiri apabila
kamu semua menghendaki, atau kapanilah aku dengan kain Yaman yang putih.
Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku diatas diatas
balai tempat tidurku dalam rumah ku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah
sebentar meninggalkan ku. Setelah itu
baru kamu semua masuk beramai-ramai bersolat ke atasku."
Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang sungguh
menyayat hati itu maka mereka menangis dengan nada yang keras dan
berkata:" Ya Rasulullah S.A.W., anda adalah seorang Rasul yang diutus
kepada kami dan untuk semua yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam
penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda
sudah tiada nanti siapakah yang akan kami tanya setiap persoalan yang timbul
nanti?"
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:" Dengarlah para sahabatku
aku tinggalkan kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang dan telah aku
tinggalkan kepada kamu semua, dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara
dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang
diam itu ialah Maut.
Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit diantara kamu, maka
hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadisku dan sekiranya hati
kamu itu berkeras maka lembutlah dia dengan mengambil pengajaran dari
mati."
Setelah Rasulullah S.A.W. berkata demikian, maka sakit
Rasulullah S.A.W. bermula. Dalam bulan Safar Rasulullah sakit selama 18 hari
dan sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa
Rasulullah S.A.W. diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin.
Pada hari isnin, sakit Rasulullah S.A.W. bertambah berat,
setelah Bilal r.a. selesai azan subuh, maka Bilal r.a pun pergi ke rumah
Rasulullah S.A.W. Sesampainya Bilal r.a di rumah Rasulullah S.A.W., maka Bilal
r.a pun memberi salam:" Assalamualaikum ya Rasulullah." Lalu dijawab
oleh Fatimah r.a: "Rasulullah S.A.W. masih sibuk dengan urusan
beliau."
Setelah Bilal r.a mendengar penjelasan dari Fatimah r.a maka
Bilal pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a itu.
Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal pergi
sekali lagi ke rumah Rasulullah S.A.W. dan memberi salam seperti permulaan
tadi, kali ini salam Bilal r.a telah didengar oleh Rasulullah dan baginda
berkata:"Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat,
oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat Subuh berjemaah dengan
mereka yang hadir."
Setelah mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W. maka Bilal
r.a. pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangannya diatas kepala
dengan berkata:" Aduh musibah!"
Sebaik sahaja Bilal sampai di masjid maka Bilal pun
memberitahu Abu Bakar tentang apa yang telah Rasulullah S.A.W. kata kan kepadanya.
Abu Bakar tidak dapat menahan dirinya apabila melihat mimbar
kosong maka dengan suara yang keras Abu Bakar r.a menangis sehingga jatuh
pengsan.
Melihat peristiwa itu, maka riuh rendahlah di dalam masjid
sehingga Rasulullah bertanya kepada Fatimah apakah yang berlaku?" Maka
Fatimah memberitahu:"Kekecohan kaum muslimin sebab anda tidak pergi ke
masjid."
Kemudian Rasulullah memanggil Ali r.a dan Fadhl bin Abas,
lalu Rasulullah S.A.W. bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid.
Setelah Rasulullah S.A.W. sampai di masjid maka beliau pun bersolat Subuh
bersama dengan para jemaah.
Setelah selesai solat Subuh maka Rasulullah S.A.W. pun
berkata: "Wahai kaum muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan
pemeliharaan Allah S.W.T., oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah
S.W.T. dan mengerjakan segala perintahNya.Sesungguhnya aku akan meninggalkan
dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan
hari terakhir aku di dunia.
Setelah berkata demikian, maka Rasulullah S.A.W. pun pulang
ke rumah beliau.
Kemudian Allah mewahyukan kepada malaikat Izrail:"Wahai
Izrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa dan apabila kamu
hendak mencabut rohnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling
lembut sekali.Apabila kamu pergi kerumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu,
kalau di izinkan kamu masuk maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau dia tidak
mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali kepada ku.
Sebaik sahaja malaikat Izrail mendapat perintah dari Allah
S.W.T. maka malaikat Izrail pun dengan segera menyerupai seorang Arab Badwi.
Setelah malaikat Izrail sampai dihadapan rumah Rasulullah S.A.W. maka dia pun
memberi salam:"Assalamu alaikum yaa ahla baitin nunuwwati wa ma danir
risaalati aadkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu sekelian,
wahai penghuni rumah nabi dan sumber risalah, bolehkah saya masuk?")
Apabila Fatimah mendengar orang memberi salam maka dia pun
berkata:"Wahai hamba Allah, Rasulullah S.A.W. sedang sibuk sebab sakitnya
yang semakin berat."
Kamudian malaikat Izrail berkata lagi seperti permulaannya,
dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah S.A.W. dan
Rasulullah S.A.W. bertanya kepada Fatimah r.a:" Wahai Fatimah, siapakah di
depan pintu itu."
Maka Fatimah r.a berkata:"Ya Rasulullah, ada seorang
Arab Badwi memanggilmu dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk
sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga merasa
mengigil badan saya."
Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:"Wahai Fatimah, tahu
kah kamu siapakah orang itu?"
Jawab Fatimah:"Tidak ayah."
Dia adalah malaikat Izrail, malaikat yang akan memutuskan
segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan- perkumpulan dan yang
memusnahkan semua rumah serta meramaikan penghuni kubur."
Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi setelah
mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahnya telah hampir, dia menangis
sepuas-puasnya.
Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar tangisan Fatimah maka
beliau pun berkata:" Janganlah engkau menangis wahai Fatimah, engkaulah
orang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku."
Kemudian Rasulullah S.A.W. menjemput malaikat Izrail masuk.
Maka malaikat Izrail pun masuk dengan mengucap: "Assalamualaikum ya
Rasulullah."
Lalu Rasulullah menjawab:"Wa alaikas saalamu, wahai
Izrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut rohku?"
Izrail berkata:"Kedatangan saya adalah untuk menziarahi
mu dan mengambil roh mu, itupun kalau kamu izinkan, kalau tidak izinkan maka
aku akan kembali."
Rasulullah berkata:"Wahai Izrail, dimanakah kamu
tinggalkan Jibrail?"
Izrail berkata:"Saya tinggalkan Jibrail A.S. di langit
dunia, semua para malaikat sedang memuliakan dia."
Tidak berapa saat kemudian, Jibrail A.S. pun turun dan duduk
dekat kepala Rasulullah S.A.W. Apabila Rasulullah S.A.W. melihat kedatangan
Jibrail A.S. maka Rasulullah S.A.W. pun berkata:"Wahai Jibrail, tahukah
kamu bahawa ajalku sudah dekat?"
Jibrail berkata:" Ya, aku memang tahu."
Rasulullah S.A.W. bertanya lagi:"Wahai Jibrail beritahu
kepadaku kemuliaan yang mengembirakan aku disisi Allah S.W.T."
Jibrail A.S. berkata:"Sesungguhnya semua pintu langit
telah dibuka, para malaikat bersusun rapi mananti roh mu di langit. Kesemua
para bidadari sudah berhias menanti kehadiran rohmu."
Rasulullah S.A.W. berkata:"Sekarang kamu katakan pula
tentang umatku pada hari Kiamat nanti."
Jibrail A.S berkata:" Allah S.W.T. telah berfirman:
"Sesungguhnya Aku telah melarang semua nabi masuk ke syurga sebelum engkau
masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum
umat mu memasuki syurga."
Rasulullah S.A.W. berkata:"Wahai Izrail, dekat lah kamu
kepadaku."
Setelah itu malaikat Izrail pun memulakan tugasnya apabila
roh itu sampai pada pusat, maka Rasulullah S.A.W. pun berkata:"Wahai
Jibrail alangkah dasyatnya rasa mati."
Jibrail mengalihkan pandangan dari Rasulullah apabila
mendengar kata -kata beliau.
Melihat telatah Jibrail itu, maka Rasulullah pun berkata:
"Wahai Jibrail, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?"
Jibrail A.S berkata:"Wahai kekasih Allah, siapakah
orang yang sanggup melihat wajah mu di kala kamu dalam sakaratul maut?"
Anas bin Malik berkata:"Apabila roh Rasulullah S.A.W.
telah sampai di dada beliau bersabda:"Aku wasiatkan kepada kamu semua
menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atas atasmu."
Ali r.a. berkata:"Sesungguhnya Rasulullah S.A.W.ketika
menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua
kali dan saya meletakkan telinga saya dekat Rasulullah S.A.W. dia
berkata:"Umatku, Umatku."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar